Pintu dikuak. Aku labuhkan duduk di sofa yang baru dibeli minggu lepas. Ternyata tugas seorang guru cukup memberiku tekanan. Bermula dengan proses p&p di dalam kelas, hubungan dengan rakan sekerja sehinggalah kepada berbagai-bagai hal yang perlu diuruskan. Ternyata ia membuatkan kepalaku cukup berat.
Tugas sebagai isteri tidak boleh dilengahkan. Hal di tempat kerja jangan sampai terbawa di rumah. Ingin memiliki suami sehebat Rasulullah, aku perlu sekuat Siti Khadijah. Terkenang saat berbicara dengan suami tercinta sewaktu minum petang tiga hari yang lalu.
“Abang, Rasulullah tu hebat kan. Dia punya isteri yang ramai. Setiap hari isterinya-isterinya akan diziarahi. Rasulullah sebagai Ketua Negara, pergi perang, bagi makan pada Yahudi tua di pasar. Kalau Rasulullah solat, lama sangat sampai bengkak-bengkak kaki. Kalau baca sirah sahabat, boleh kata semua sahabat sentiasa di sisi Rasulullah. Tapi,pada masa yang sama juga Rasulullah ziarah anaknya Fatimah, solat lima waktu kat masjid, siap jadi imam lagi. Agak-agak, macam mana yek Rasulullah uruskan waktunya? Dia pun dapat 24 jam macam kita kan. ”
Suamiku tersenyum. “Abang tak sangka Sarah fikir sampai macam tu.”
“Punya la panjang Sarah tanya, abang jawab ciput tu jek. Abang bagi la idea sikit.”
“Sarah rasa berat ker tanggungjawab jadi isteri ni? Abang banyak susahkan Sarah ke?”
“Eh, tak la. Biasalah, kita kan baru kahwin. Perlukan masa sesuaikan diri dengan tanggungjawab baru. Tak semua benda kita boleh terima dalam satu masa yang sama. Abang, tolongla jawab soalan tadi. Bagi inspirasi pada Sarah. Pada abang juga. Kalau kita tak jadikan Rasulullah panduan kita, dah takde orang yang maksum untuk kita contohi. My hero tu tau!!”
“Amboi! Berianya. Macam ni, kan usrah lepas kita ada bincang pasal hadis 12. Ingat tak?”
“Hadis 12? Yang cerita pasal hal-hal yang tak bermanfaat tu ke?”
“Haa, yang tu la. Kalau kita baca sirah Rasulullah, ada tak Rasulullah buat benda-benda yang tak berfaedah? Sedangkan masa Rasulullah kecil dia nak pergi jamuan orang kahwin pun Allah tidurkan dia. Sesuaikan hadis tu? Kesempurnaan agama itu bila meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat untuk dirinya. Kalau kita relatekan dengan kehidupan kita sekarang, betapa banyak kita buat perkara yang sia-sia….”
Ternyata, jawapan suamiku itu benar-benar memberiku kekuatan pada hari ini. Aku segera masuk ke bilik untuk mandi dan solat. Manfaatkan waktu Sarah! Aku terlihat sesuatu di atas katil. Envelope apa ni yek?? Biarlah dulu. “Kalau bukan aku punya, mesti abang punya.” Ngomel hatiku sendirian. Aku teruskan mandi dan solat. Rasa badan kembali segar. Aku turun ke dapur menyiapkan hidangan untuk makan malam. Hidangan perlu disiapkan lebih awal memandangkan selepas ini aku perlu ke sekolah semula. Tugasku sebagai guru perpustakaan memerlukan aku menyiapkan urusan buku-buku yang baru sampai pagi tadi.
Aku pulang jam 5.30 petang. Aku lihat kereta suamiku sudah tersedia di pakir. Timbul rasa bersalah kerana membiarkan suamiku terlebih dahulu pulang ke rumah. Sewajarnya sebagai seorang isteri perlu menyambut kepulangan suaminya. Aku dapati suamiku terlena di sofa. Aku perlahankan langkah bimbang dia terjaga.
“Assalamualaikum!”
Aku berhenti melangkah,“waalaikumussalam. Abang nak air?”
Dia hanya menjawab dengan anggukan. Ku lihat wajahnya sarat dengan persoalan. Sebagai isteri, aku wajar bertindak dengan bijak. Membahagiakan suasana yang agak keruh tanpa sedar di mana puncanya.
Ku hulurkan gelas berisi jus oren jenama Marigold, minuman kegemaran kami di saat keletihan. Dia meneguk air sehingga habis. Aku tenung wajahnya. Tidak sedikit pun kurang wajah keruh itu.
“Abang ke masjid ke Maghrib ni?”
Dia menggeleng, “Abang solat dengan Sarah malam ni yek. Sekarang ni kita makan dulu boleh?”
Aku angguk tanda setuju. Aku terus hidangkan makan malam dan kami nikmati bersama. Tiada bicara yang keluar. Nasi di pinggan bertambah. Nampak dia berselera walaupun wajahnya masih tidak berubah ceria. Aku melambatkan kunyahan. Bimbang aku terlebih dahulu siap berbanding suamiku. Selesai makan, dia bangun membawa pinggan ke singki dan terus membasuhnya. Kebiasaan suamiku yang aku sangat kagumi. Sejak berkahwin tiga minggu yang lalu, belum sekalipun aku berpeluang membasuh pinggan makannya. Hatta dirumahku, atau di rumah keluarganya, sekalipun di rumah kami sendiri.
Dia kembali ke meja makan. Nasiku masih tinggal suku walaupun tidak bertambah. “Abang naik mandi dulu. Nanti kita solat sama. Lepas maghrib kita bincang.” Dadaku berdebar hebat. Ada sesuatu yang hebat rasanya. Kalau tidak, masakan dia sanggup untuk tidak turun ke masjid. Aku percepatkan tugasku kerana Maghrib semakin hampir.
Allahuakbar! Takbir diangkat beserta niat. Terasa cukup bahagia memiliki suami yang menghafaz al-Quran. Tebukla ayat mana, surah mana, juzuk mana, senang jek dia sambung. Aku sangat kagum dengannya. Dia sangat menjaga hafalannya walaupun tugasnya sebagai seorang doktor sudah cukup untuk melelahkannya. Sejak bergelar isterinya, aku sekaligus menggalas tugas sebagai tukang tasmik pada bacaannya setiap kali selepas Subuh. Sungguh indah waktu itu. Dia juga menggalakku menghafal. Kalau dia tasmik dua helai, aku tasmik dua ayat. Aku kembang setiap kali ditasmik. Dia bijak bermain kata. Macam-macam pujian yang diberikan padaku. Setiap pujian yang ditaburkan di atas hafalanku, aku tulis di dalam diari. Tanda cinta kami bersatu mencari keredhaan Allah.
Solat maghrib kami agak panjang. Ada nada sendu pada bacaannya. Surah al-anfal dipilih. Pada hujung bacaannya, terdengar sebak yang tidak mampu lagi dikawal.
“Assalamualaikumwarohmatullah…..Assalamualaikumwarohmatullah…”
Wirid dibaca bersambung dengan doa. Panjang doanya. Masih lagi sendu..bercampur sebak..selesai doa diaminkan, suamiku menghulurkan salam. Aku sambut salamnya dan kucium tangannya setulus yang ada. Dia pandang wajahku. Dia pandang pada envelope di katil.
“Sarah dah buka envelope tu?”
Aku turut memandang envelope tersebut. “Untuk Sara ke? Sara ingat abang punya. Sara tak baca la.”
“Memang abang punya, tapi Sarah untuk Sarah juga.”
“Oh, tak pelah, Sara tengok sekarang.” Aku cuba bangun tapi ditahan suamiku.
“Sara, dalam envelope tu ada borang. Borang sukarelawan.”
“Sukarelawan? Untuk apa?”
Suamiku menarik nafas panjang. Menghilangkan sedikit keresahan. Aku dapat merasakan tangannya sedikit dingin. Sepertinya amat berat untuk diluahkan.
“Abang cakapla. Kalau abang rasa berat nak cakap, Sarah tengok sendiri. Sarah cuba kuat untuk dengarnya. Cuba kuat untuk terima.”
“Sarah, abang buat permohonan ni dah lama. Sebelum kita bercadang nak kahwin lagi. Tapi, abang tak sangka, saat kita baru berkahwin ni abang dapat keputusannya.”
“Tak pe abang. Baik untuk agama, baik juga untuk kita. Sukarelawan apa bang?”
“Sukarelawan Palestin. Untuk misi kemanusiaan. Abang ditempatkan di bahagian rawatan. Sesuai dengan tugas sebagai seorang doktor.”
Hampir sahaja luruh segala organ yang bermukim di dalam jasad milik Sarah Hayati binti Mokhtar. Menyertai misi kemanusiaan ke Palestin sepertinya meletakkan telur di hujung tanduk. Bukan aku tidak tahu tentang serangan Yahudi ke atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa beberapa tahun dahulu. Merelakan suamiku pergi bermakna aku merelakan diriku menjadi seorang janda. Ternyata, hakikat yang diterima tidak semanis mulut yang berbicara. Aku tundukkan wajah. Gugur sudah air mata yang ditahan. Laju. Teramat laju. Saat itu aku sudah hilang malu dengan air mata yang berguguran. Biar suamiku tahu, aku tidak rela. Aku benar-benar tidak rela!
Aku tarik tanganku dari genggaman suami. Aku bangun mencapai mushaf al-Quran. Aku keluar dari bilik dan terus ke bilik tetamu. Di situ, aku menangis semahu-mahunya. Aku peluk mushaf al-Quran. Aku cium mushaf. Ya Allah, beri aku kekuatan. Pinjamkan aku ketabahan Siti Hajar. Pinjamkan aku keyakinan Ummu Sulaim.
Ingin sahaja aku menjerit, khabarkan pada dunia aku tak rela dengan apa yang berlaku. Ya Allah, mana kekuatan yang selama ini aku genggam? Mana ketabahan yang selama ini aku perjuangkan? Mana kesabaran yang selama ini aku canangkan? Aku seolah-olah hilang diri sendiri mendengar khabar ini. Untuk berpisah dengan suami yang menyertai misi sukarelawan ke Palestin sungguh aku tidak dapat terima. Aku menangis semahu-mahunya. Aku dapat rasakan betapa syaitan begitu bersorak dengan setiap tangisan yang aku juraikan. Pastinya saat ini syaitan benar-benar berpesta atas deraian air mataku.
Kenapa aku yang harus terima semua ini? Takkan aku nak menjanda sedangkan umurku baru 24 tahun. Kenapa jalan ini yang suamiku pilih? Bukankan banyak lagi jalan lain untuk dia berjihad? Tiga minggu berkahwin, diuji dengan perpisahan merentasi benua. Anta hidup dan mati. Antara rela dan terpaksa. Dan..antara syurga dan neraka.....
Tiba-tiba, aku terdengar suara azan Isyak dari masjid. Apa yang jelas, aku amat mengenali suara yang melaungkan azan itu. Suara itu milik mulut yang berbicara tentang misi sukarelawan ke Palestin. Suara itu milik tangan yang mengenggam tanganku memberitahu tentang hasrat hatinya ke Pelestin. Suara itu yang merobek hatiku dengan ungakpan mahu ke Palestin..
Tapi, suara itu yang sekarang ini berjaya mendamaikan hatiku. Suara itu yang meruntun hatiku..air mata masih laju membasahi pipiku. Kali ini, bukan aku tak rela dengan permintaanya. Tetapi kalimah “Hayya ‘alalfalah” berjaya membuatkan hatiku bergetar. Suamiku seolah-olah mengajak aku turut serta dalam misi kiemanusiaan ini. Biarpun bukan dengan jasad, tetapi dengan jiwa. Entah dari mana datangnya fikiran seperti ini pun aku tidak pasti. Tetapi sekarang ini jiwaku penuh dengan motivasi. Palestin perlu dibantu. Kejayaan mesti menjadi milik umat Islam! Dan biar aku dan suamiku yang menjadi salah satu tiang penegak kejayaan Palestin. Kejayaan Islam. Ternyata saat kalimah itu dilaungkan, syaitan dengan segera bertempiaran lari. Dan dengan kalimah itu juga Allah dengan siafatnya Yang Maha Kuasa memasukkan iman ke dalam hatiku. Allahhuakbar! Allah Maha Besar.
“sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambahlah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal.”
Ya Allah, saat hatiku berkira-kira untuk berjuang di jalanmu, Kau masih mencampakkan iman ke dalam hatiku. Saat aku benar-benar tidak redha dengan keinginan suamiku, kau beri aku rasa gentar pada jiwa yang hampir mati tentang perjuangan agama Allah. Subhanallah! Terlalu dekat Engkau dengan aku Ya Allah. Kau memelihara diriku dari segenap penjuru. Padahal tiada apa yang aku perjuangkan untuk agama ini. Aku malu padaMu ya Allah. Di mana kesyukuranku di atas nikmat yang Kau limpahkan ini ya Allah???
Selesai azan, aku segera memperbaharui wudhukku. Allahuakbar! Niat dipasang bagi mengerjakan solat Isyak. Terasa damai di hati. Ketenangan yang benar-benar membuatkan hatiku senang. Aku dapat merasakan Allah memberi jiwa dan jasad yang baru. Rasa sayu menyelinap dalam jiwaku setelah selesai salam diberikan. Mungkinkan aku berpeluang lagi mengerjakan solat seindah ini. Aku duduk berteleku di sejadah memikirkan di tempat inilah baru sekejap tadi suami yang aku sayang dan cintai menyatakan hasratnya untuk ke Palestin. Di atas sejadah cinta ini juga aku menarik tanganku tanda aku tidak rela akan hasratnya. Dan akhirnya, di sini juga aku mendapatkan ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Allah mengujiku tak lama. Hanya antara maghrib dan Isyak. Hanya antara waktu itu sahaja.
Tapi Palestin, ujiannya berkurun lama. Berjuta sudah rakyatnya syahid. Betapa ramai anak yang tidak berbapa. Betapa ramai isteri menjanda. Dan berapa ramai yang tidur beratapkan langit, beralaskan pasir. Sudah tiga kali intifadah dilancarkan. Namun generasi demi generasi bangkit mempertahankan maruah agama. Allah berjanji Islam akan dijaga sampai kiamat. Tetapi Allah tidak berjanji akan memelihara iman setiap dalam diri individu itu sampai akhir hayatnya. Permulaan yang baik tidak semestinya akhirnya baik. Sebab itulah Allah menyuruh setiap hambanya istiqamah dalam beramal.
Terkenang saat masih belum berkahwin. Setiap hari, doa yang kupanjatkan pada Allah ialah:
“Ya Allah ya Tuhanku, pertemukanlah aku dengan lelaki yang beriman. Yang bisa membawaku mencintaiMu. Yang bisa mengajarku kalimat-kalimat memujiMu. Yang bisa mengajarku bagaimana untuk berjihad di jalanMu...”
Dan hari ini, Allah mengujiku dengan doa yang aku panjatkan kepadaNya. Lelaki beriman telah Allah kurniakan kepadaku. Lelaki ini juga sering mengajarku kalimah-kalimah cinta dari Allah. Dan sekarang ini Allah mengujiku pada kalimah terakhir doa remajaku. Ya Allah, bagaimana untuk aku menetapkan hatiku untuk pada jalan ini. Ku hampirkan diri pada Allah. Ku hamparkan salam cinta kepada Allah:
“Ya Rabbi. Andainya ini jalan terbaik untuk aku menyatakan cintaku kepadaMu, datangkanlah rasa redha dalam hatiku. Andainya ini jual beli yang aku harus laksanakan dalam kehidupan ini, aku pohon agar jual beli ini ada nilainya di sisiMu. Ya Allah, kau mendatangkan ujian yang tidak tertanggung olehku. Kau memilihku untuk menerima ujian ini. Aku pohon ya Allah, agar Kau berikan aku kekuatan dan kesabaran dalam jalan ini. Berilah padaku jawapan yang benar-benar menenangkan aku.”
Air mata masih setia menemaniku dalam kudus doa itu. Ku ambil mushaf al-Quran. Aku buka sambungan bacaanku yang terhenti. Saat ingin melontarkan kalimah cinta milik Allah itu, aku terpandang satu ayat di bawah ibu jariku.
“kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang airnya memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh karena takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.”
Masya Allah! Untung Allah tidak menjadikan hatiku keras. Padahal batu pun mengeluarkan mata air. Syukur ya Allah, Kau masih memilih aku untuk diberikan “rasa” ini. Deraian air mata masih lagi setia bersamaku. Kali ini, air mataku bukan tanda protes tetapi tanda syukurku pada Rab.
“Abang, kita istikharah ye. Kita Tanya Allah apa jawapannya.” Itu saranan yang aku berikan pada suamiku setelah dia pulang dari masjid. Suamiku hanya senyum mendengar jawapanku.
“Mana Sarah dapat kekuatan?” Sungguh bijak soalan yang diatur.
“Hayya ‘alalfalah..” jawapan yang diberi mestilah sebijak soalan yang dituju. Aku terus bergerak masuk ke bilik. Saat ini, aku perlu masa untuk bersendirian. Aku serahkan pada Allah jasad beserta jiwa suamiku. Aku terima segala keputusan Allah. Telah hadir redha dalam hatiku. Alhamdulillah. Jiwaku masih segar dengan kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.




