Sunday, 30 October 2011

:~Jiwa Seorang Isteri:~

Pintu dikuak. Aku labuhkan duduk di sofa yang baru dibeli minggu lepas. Ternyata tugas seorang guru cukup memberiku tekanan. Bermula dengan proses p&p di dalam kelas, hubungan dengan rakan sekerja sehinggalah kepada berbagai-bagai hal yang perlu diuruskan. Ternyata ia membuatkan kepalaku cukup berat.

            Tugas sebagai isteri tidak boleh dilengahkan. Hal di tempat kerja jangan sampai terbawa di rumah. Ingin memiliki suami sehebat Rasulullah, aku perlu sekuat Siti Khadijah. Terkenang saat berbicara dengan suami tercinta sewaktu minum petang tiga hari yang lalu.
“Abang, Rasulullah tu hebat kan. Dia punya isteri yang ramai. Setiap hari isterinya-isterinya akan diziarahi. Rasulullah sebagai Ketua Negara, pergi perang, bagi makan pada Yahudi tua di pasar. Kalau Rasulullah solat, lama sangat sampai bengkak-bengkak kaki. Kalau baca sirah sahabat, boleh kata semua sahabat sentiasa di sisi Rasulullah. Tapi,pada masa yang sama juga Rasulullah ziarah anaknya Fatimah, solat lima waktu kat masjid, siap jadi imam lagi. Agak-agak, macam mana yek Rasulullah uruskan waktunya? Dia pun dapat 24 jam macam kita kan. ”
Suamiku tersenyum. “Abang tak sangka Sarah fikir sampai macam tu.”
“Punya la panjang Sarah tanya, abang jawab ciput tu jek. Abang bagi la idea sikit.”
“Sarah rasa berat ker tanggungjawab jadi isteri ni? Abang banyak susahkan Sarah ke?”
“Eh, tak la. Biasalah, kita kan baru kahwin. Perlukan masa sesuaikan diri dengan tanggungjawab baru. Tak semua benda kita boleh terima dalam satu masa yang sama. Abang, tolongla jawab soalan tadi. Bagi inspirasi pada Sarah. Pada abang juga. Kalau kita tak jadikan Rasulullah panduan kita, dah takde orang yang maksum untuk kita contohi. My hero tu tau!!”
“Amboi! Berianya. Macam ni, kan usrah lepas kita ada bincang pasal hadis 12. Ingat tak?”
“Hadis 12? Yang cerita pasal hal-hal yang tak bermanfaat tu ke?”
“Haa, yang tu la. Kalau kita baca sirah Rasulullah, ada tak Rasulullah buat benda-benda yang tak berfaedah? Sedangkan masa Rasulullah kecil dia nak pergi jamuan orang kahwin pun Allah tidurkan dia. Sesuaikan hadis tu? Kesempurnaan agama itu bila meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat untuk dirinya. Kalau kita relatekan dengan kehidupan kita sekarang, betapa banyak kita buat perkara yang sia-sia….”

            Ternyata, jawapan suamiku itu benar-benar memberiku kekuatan pada hari ini. Aku segera masuk ke bilik untuk mandi dan solat. Manfaatkan waktu Sarah! Aku terlihat sesuatu di atas katil. Envelope apa ni yek?? Biarlah dulu. “Kalau bukan aku punya, mesti abang punya.” Ngomel hatiku sendirian. Aku teruskan mandi dan solat. Rasa badan kembali segar. Aku turun ke dapur menyiapkan hidangan untuk makan malam. Hidangan perlu disiapkan lebih awal memandangkan selepas ini aku perlu ke sekolah semula. Tugasku sebagai guru perpustakaan memerlukan aku menyiapkan urusan buku-buku yang baru sampai pagi tadi.

          Aku pulang jam 5.30 petang. Aku lihat kereta suamiku sudah tersedia di pakir. Timbul rasa bersalah kerana membiarkan suamiku terlebih dahulu pulang ke rumah. Sewajarnya sebagai seorang isteri perlu menyambut kepulangan suaminya. Aku dapati suamiku terlena di sofa. Aku perlahankan langkah bimbang dia terjaga.
“Assalamualaikum!”
Aku berhenti melangkah,“waalaikumussalam. Abang nak air?”
Dia hanya menjawab dengan anggukan. Ku lihat wajahnya sarat dengan persoalan. Sebagai isteri, aku wajar bertindak dengan bijak. Membahagiakan suasana yang agak keruh tanpa sedar di mana puncanya.

         Ku hulurkan gelas berisi jus oren jenama Marigold, minuman kegemaran kami di saat keletihan. Dia meneguk air sehingga habis. Aku tenung wajahnya. Tidak sedikit pun kurang wajah keruh itu.
“Abang ke masjid ke Maghrib ni?”
Dia menggeleng, “Abang solat dengan Sarah malam ni yek. Sekarang ni kita makan dulu boleh?”

Aku angguk tanda setuju. Aku terus hidangkan makan malam dan kami nikmati bersama. Tiada bicara yang keluar. Nasi di pinggan bertambah. Nampak dia berselera walaupun wajahnya masih tidak berubah ceria. Aku melambatkan kunyahan. Bimbang aku terlebih dahulu siap berbanding suamiku. Selesai makan, dia bangun membawa pinggan ke singki dan terus membasuhnya. Kebiasaan suamiku yang aku sangat kagumi. Sejak berkahwin tiga minggu yang lalu, belum sekalipun aku berpeluang membasuh pinggan makannya. Hatta dirumahku, atau di rumah keluarganya, sekalipun di rumah kami sendiri.

Dia kembali ke meja makan. Nasiku masih tinggal suku walaupun tidak bertambah. “Abang naik mandi dulu. Nanti kita solat sama. Lepas maghrib kita bincang.” Dadaku berdebar hebat. Ada sesuatu yang hebat rasanya. Kalau tidak, masakan dia sanggup untuk tidak turun ke masjid. Aku percepatkan tugasku kerana Maghrib semakin hampir.

Allahuakbar! Takbir diangkat beserta niat. Terasa cukup bahagia memiliki suami yang menghafaz al-Quran. Tebukla ayat mana, surah mana, juzuk mana, senang jek dia sambung. Aku sangat kagum dengannya. Dia sangat menjaga hafalannya walaupun tugasnya sebagai seorang doktor sudah cukup untuk melelahkannya. Sejak bergelar isterinya, aku sekaligus menggalas tugas sebagai tukang tasmik pada bacaannya setiap kali selepas Subuh. Sungguh indah waktu itu. Dia juga menggalakku menghafal. Kalau dia tasmik dua helai, aku tasmik dua ayat. Aku kembang setiap kali ditasmik. Dia bijak bermain kata. Macam-macam pujian yang diberikan padaku. Setiap pujian yang ditaburkan di atas hafalanku, aku tulis di dalam diari. Tanda cinta kami bersatu mencari keredhaan Allah.

Solat maghrib kami agak panjang. Ada nada sendu pada bacaannya. Surah al-anfal dipilih. Pada hujung bacaannya, terdengar sebak yang tidak mampu lagi dikawal.
“Assalamualaikumwarohmatullah…..Assalamualaikumwarohmatullah…”

          Wirid dibaca bersambung dengan doa. Panjang doanya. Masih lagi sendu..bercampur sebak..selesai doa diaminkan, suamiku menghulurkan salam. Aku sambut salamnya dan kucium tangannya setulus yang ada. Dia pandang wajahku. Dia pandang pada envelope di katil.
“Sarah dah buka envelope tu?”
Aku turut memandang envelope tersebut. “Untuk Sara ke? Sara ingat abang punya. Sara tak baca la.”
“Memang abang punya, tapi Sarah untuk Sarah juga.”
“Oh, tak pelah, Sara tengok sekarang.” Aku cuba bangun tapi ditahan suamiku.
“Sara, dalam envelope tu ada borang. Borang sukarelawan.”
“Sukarelawan? Untuk apa?”
Suamiku menarik nafas panjang. Menghilangkan sedikit keresahan. Aku dapat merasakan tangannya sedikit dingin. Sepertinya amat berat untuk diluahkan.
“Abang cakapla. Kalau abang rasa berat nak cakap, Sarah tengok sendiri. Sarah cuba kuat untuk dengarnya. Cuba kuat untuk terima.”
“Sarah, abang buat permohonan ni dah lama. Sebelum kita bercadang nak kahwin lagi. Tapi, abang tak sangka, saat kita baru berkahwin ni abang dapat keputusannya.”
“Tak pe abang. Baik untuk agama, baik juga untuk kita. Sukarelawan apa bang?”
“Sukarelawan Palestin. Untuk misi kemanusiaan. Abang ditempatkan di bahagian rawatan. Sesuai dengan tugas sebagai seorang doktor.”

            Hampir sahaja luruh segala organ yang bermukim di dalam jasad milik Sarah Hayati binti Mokhtar. Menyertai misi kemanusiaan ke Palestin sepertinya meletakkan telur di hujung tanduk. Bukan aku tidak tahu tentang serangan Yahudi ke atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa beberapa tahun dahulu. Merelakan suamiku pergi bermakna aku merelakan diriku menjadi seorang janda. Ternyata, hakikat yang diterima tidak semanis mulut yang berbicara. Aku tundukkan wajah. Gugur sudah air mata yang ditahan. Laju. Teramat laju. Saat itu aku sudah hilang malu dengan air mata yang berguguran. Biar suamiku tahu, aku tidak rela. Aku benar-benar tidak rela!

            Aku tarik tanganku dari genggaman suami. Aku bangun mencapai mushaf al-Quran. Aku keluar dari bilik dan terus ke bilik tetamu. Di situ, aku menangis semahu-mahunya. Aku peluk mushaf al-Quran. Aku cium mushaf. Ya Allah, beri aku kekuatan. Pinjamkan aku ketabahan Siti Hajar. Pinjamkan aku keyakinan Ummu Sulaim.

            Ingin sahaja aku menjerit, khabarkan pada dunia aku tak rela dengan apa yang berlaku. Ya Allah, mana kekuatan yang selama ini aku genggam? Mana ketabahan yang selama ini aku perjuangkan? Mana kesabaran yang selama ini aku canangkan? Aku seolah-olah hilang diri sendiri mendengar khabar ini. Untuk berpisah dengan suami yang menyertai misi sukarelawan ke Palestin sungguh aku tidak dapat terima. Aku menangis semahu-mahunya. Aku dapat rasakan betapa syaitan begitu bersorak dengan setiap tangisan yang aku juraikan. Pastinya saat ini syaitan benar-benar berpesta atas deraian air mataku.

            Kenapa aku yang harus terima semua ini? Takkan aku nak menjanda sedangkan umurku baru 24 tahun. Kenapa jalan ini yang suamiku pilih? Bukankan banyak lagi jalan lain untuk dia berjihad? Tiga minggu berkahwin, diuji dengan perpisahan merentasi benua. Anta hidup dan mati. Antara rela dan terpaksa. Dan..antara syurga dan neraka.....

            Tiba-tiba, aku terdengar suara azan Isyak dari masjid. Apa yang jelas, aku amat mengenali suara yang melaungkan azan itu. Suara itu milik mulut yang berbicara tentang misi sukarelawan ke Palestin. Suara itu milik tangan yang mengenggam tanganku memberitahu tentang hasrat hatinya ke Pelestin. Suara itu yang merobek hatiku dengan ungakpan mahu ke Palestin..

            Tapi, suara itu yang sekarang ini berjaya mendamaikan hatiku. Suara itu yang meruntun hatiku..air mata masih laju membasahi pipiku. Kali ini, bukan aku tak rela dengan permintaanya. Tetapi kalimah “Hayya ‘alalfalah” berjaya membuatkan hatiku bergetar. Suamiku seolah-olah mengajak aku turut serta dalam misi kiemanusiaan ini. Biarpun bukan dengan jasad, tetapi dengan jiwa. Entah dari mana datangnya fikiran seperti ini pun aku tidak pasti. Tetapi sekarang ini jiwaku penuh dengan motivasi. Palestin perlu dibantu. Kejayaan mesti menjadi milik umat Islam! Dan biar aku dan suamiku yang menjadi salah satu tiang penegak kejayaan Palestin. Kejayaan Islam. Ternyata saat kalimah itu dilaungkan, syaitan dengan segera bertempiaran lari. Dan dengan kalimah itu juga Allah dengan siafatnya Yang Maha Kuasa memasukkan iman ke dalam hatiku. Allahhuakbar! Allah Maha Besar.
“sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambahlah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal.”

         Ya Allah, saat hatiku berkira-kira untuk berjuang di jalanmu, Kau masih mencampakkan iman ke dalam hatiku. Saat aku benar-benar tidak redha dengan keinginan suamiku, kau beri aku rasa gentar pada jiwa yang hampir mati tentang perjuangan agama Allah. Subhanallah! Terlalu dekat Engkau dengan aku Ya Allah. Kau memelihara diriku dari segenap penjuru. Padahal tiada apa yang aku perjuangkan untuk agama ini. Aku malu padaMu ya Allah. Di mana kesyukuranku di atas nikmat yang Kau limpahkan ini ya Allah???

            Selesai azan, aku segera memperbaharui wudhukku. Allahuakbar! Niat dipasang bagi mengerjakan solat Isyak. Terasa damai di hati. Ketenangan yang benar-benar membuatkan hatiku senang. Aku dapat merasakan Allah memberi jiwa dan jasad yang baru. Rasa sayu menyelinap dalam jiwaku setelah selesai salam diberikan. Mungkinkan aku berpeluang lagi mengerjakan solat seindah ini. Aku duduk berteleku di sejadah memikirkan di tempat inilah baru sekejap tadi suami yang aku sayang dan cintai menyatakan hasratnya untuk ke Palestin. Di atas sejadah cinta ini juga aku menarik tanganku tanda aku tidak rela akan hasratnya. Dan akhirnya, di sini juga aku mendapatkan ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Allah mengujiku tak lama. Hanya antara maghrib dan Isyak. Hanya antara waktu itu sahaja.
            Tapi Palestin, ujiannya berkurun lama. Berjuta sudah rakyatnya syahid. Betapa ramai anak yang tidak berbapa. Betapa ramai isteri menjanda. Dan berapa ramai yang tidur beratapkan langit, beralaskan pasir. Sudah tiga kali intifadah dilancarkan. Namun generasi demi generasi bangkit mempertahankan maruah agama. Allah berjanji Islam akan dijaga sampai kiamat. Tetapi Allah tidak berjanji akan memelihara iman setiap dalam diri individu itu sampai akhir hayatnya. Permulaan yang baik tidak semestinya akhirnya baik. Sebab itulah Allah menyuruh setiap hambanya istiqamah dalam beramal.

            Terkenang saat masih belum berkahwin. Setiap hari, doa yang kupanjatkan pada Allah ialah:
“Ya Allah ya Tuhanku, pertemukanlah aku dengan lelaki yang beriman. Yang bisa membawaku mencintaiMu. Yang bisa mengajarku kalimat-kalimat memujiMu. Yang bisa mengajarku bagaimana untuk berjihad di jalanMu...”
Dan hari ini, Allah mengujiku dengan doa yang aku panjatkan kepadaNya. Lelaki beriman telah Allah kurniakan kepadaku. Lelaki ini juga sering mengajarku kalimah-kalimah cinta dari Allah. Dan sekarang ini Allah mengujiku pada kalimah terakhir doa remajaku. Ya Allah, bagaimana untuk aku menetapkan hatiku untuk pada jalan ini. Ku hampirkan diri pada Allah. Ku hamparkan salam cinta kepada Allah:
“Ya Rabbi. Andainya ini jalan terbaik untuk aku menyatakan cintaku kepadaMu, datangkanlah rasa redha dalam hatiku. Andainya ini jual beli yang aku harus laksanakan dalam kehidupan ini, aku pohon agar jual beli ini ada nilainya di sisiMu. Ya Allah, kau mendatangkan ujian yang tidak tertanggung olehku. Kau memilihku untuk menerima ujian ini. Aku pohon ya Allah, agar Kau berikan aku kekuatan dan kesabaran dalam jalan ini. Berilah padaku jawapan yang benar-benar menenangkan aku.”
            Air mata masih setia menemaniku dalam kudus doa itu. Ku ambil mushaf al-Quran. Aku buka sambungan bacaanku yang terhenti. Saat ingin melontarkan kalimah cinta milik Allah itu, aku terpandang satu ayat di bawah ibu jariku.
“kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang airnya memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh karena takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.”
Masya Allah! Untung Allah tidak menjadikan hatiku keras. Padahal batu pun mengeluarkan mata air. Syukur ya Allah, Kau masih memilih aku untuk diberikan “rasa” ini. Deraian air mata masih lagi setia bersamaku. Kali ini, air mataku bukan tanda protes tetapi tanda syukurku pada Rab.

          “Abang, kita istikharah ye. Kita Tanya Allah apa jawapannya.” Itu saranan yang aku berikan pada suamiku setelah dia pulang dari masjid. Suamiku hanya senyum mendengar jawapanku. 
“Mana Sarah dapat kekuatan?” Sungguh bijak soalan yang diatur.
“Hayya ‘alalfalah..” jawapan yang diberi mestilah sebijak soalan yang dituju. Aku terus bergerak masuk ke bilik. Saat ini, aku perlu masa untuk bersendirian. Aku serahkan pada Allah jasad beserta jiwa suamiku. Aku terima segala keputusan Allah. Telah hadir redha dalam hatiku. Alhamdulillah. Jiwaku masih segar dengan kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.


Wednesday, 26 October 2011

:~ Burger ini Milik Palestin :~

Perjalanan yang jauh menyusuri lebuhraya menggamit rasa letih dan lapar. Satu tempat yang mampu mendamaikan hati ini adalah masjid. Aku perlu solat jamak Maghrib dan Isyak. Akhirnya kubah indah itu terbit pada pandangan. Dihiasi lampu warna warni memudahkan aku mengenal pasti itu bangunan milik rumah Allah. Kereta Satria Neo ku parkir tepat dalam kotaknya. Aku melangkah menuju rumah Allah. Paip dibuka dan terasa kedinginan air membasahi kulitku. Ternyata, inilah hikmat wudhuk. Melunturkan dosa-dosa, menyegarkan badan yang keletihan dan terasa tenaga baru menjelma dalam tubuh. Takbir diangkat..ya Allah..solatku ini untukkMu. Ibadah ini persembahanku dari hambamu yang kerdil.
            Usai salam diberi, aku bangun menuju ke tepi dinding. Ku baringkan sebentar tubuhku yang terlalu penat menekan pedal minyak. Musafirku ke Kedah adalah atas jemputan pengisian Daurah Murabbi. Kalau difikirkan dari segi kelayakan, ternyata aku bukanlah orang yang tepat untuk menjadi pengisi bagi daurah yang memiliki nama yang gah ini. Namun kerana tuntutan dakwah, ku tepis semua itu. Biarlah pengisian ini bermanfaat bukan hanya pada peserta tetapi untuk diriku sendiri. Biar ramai menjadi murabbi. Biar ramai yang mampu mencetak jundi. Biar ramai yang membuat kerja dakwah. Kerana itu, Islam bakal gemilang kembali. Sejarah tetap berulang. Jatuh bangun itu adat. Biar aku menjadi salah satu tiang yang menegakkannya.
            Ternyata, kelaparan tidak dapat mengatasi kelelahan. Mataku tidak dapat dipejam kerana perutku menari-nari minta diisi. Kalau tadi tariannya zapin, kali ini sudah berjoget siap dengan rebana ubi. Aku bangkit menarik nafas. Perut milik Abdul Fatah yang sementara ini perlu diisi. Perjalanan perlu disambung. Enjin dihidupkan. Aku memandu kereta keluar dari perkarangan masjid. Keluar dari masjid, aku terpandang gerai burger. Segera ku hentikan kereta. Pada fikiranku, inilah suatu hidangan yang mampu memberi tenaga kepadaku dengan izin Allah.
            Sesuatu yang berbeza ku lihat pada gerai ini. Terdapat bendera palestin berkibar megah pada atap gerai ini. Di bahagian hadapan gerai ini tertera tulisan “Burger Palestin”. Di kanan gerai ditampal poster kanak-kanak As-Syahid Faris Audah yang membaling batu ke arah kereta kebal milik Yahudi laknatullah.  Di kiri gerai pula ditampal poster seorang ibu sedang bersolat dengan tentera Yahudi sedang mengacukan senapang ke arah ibu itu. Sekeliling gerai itu dihiasi dengan bendera kecil Palestin. Di bahagian hujung gerai itu juga disediakan satu tabung derma oleh pihak aman palestin. Terdapat juga susunan pamphlet aman palestin tentang sistem yang dilancarkan oleh aman palestin seperti sistem kifalah, cara menderma melalui sistem sms dan lain-lain.
            Aku terpaku tidak bergerak memandang gerai tersebut. Dua orang pemuda yang sedang tekun menjual burger itu memandangkku dengan senyum. “Abang nak order apa? Senarai harga dan jenis ada kat sini.” Salah seorang daripada mereka menyapaku dengan senyuman.
“Saya mau oblong burger satu yek”
“Sekejap yek. Abang duduk dulu di sini”. Penjual itu memberiku sebuah kerusi.
“Boleh abang tahu, kenapa burger Palestin?”
“Ini cara kami abang. Untuk ke sana kami tak mampu. Kalau kami bawa tabung aman palestin ini ke pasar atau kemana-mana, orang tak pandang pun. Usahkan nak derma. Sebab itu kalau abang perhatikan, harga burger kami tidak genap. Benjo RM 1.4, burger ayam dan daging RM1.8, burger special RM 2.8. Kami harap bakinya yang beberapa sen itu dimasukkan ke dalam tabung itu. Dan setiap biji burger yang kami jual itu ada bahagiannya untuk Palestin.”
“Masya Allah…sungguh hebat usaha kamu. Macam mana kamu dapat idea ini?”
“Oh, sebenarnya kami dah lama berniaga di sini. Sebelum ni kami jual macam biasa. Tapi sekitar tahun lepas, masjid ini ada menjemput pihak aman palestin datang bagi ceramah berkenaan Palestin. Waktu itu, hadirin sangat ramai. Jualan burger saya amat banyak. Malam itu saya banyak dapat untung. Saya dermakan sebahagiannya untuk Palestin. Selesai ceramah itu, seorang wakil aman palestin datang ke gerai saya. Dia beri saya banyak poster palestin. Saya tampal kat gerai ini. Lepas tu, pelanggan kami makin bertambah. Saya yakin, ini rezeki  Palestin. Saya hubungi aman Palestin untuk menjadi agen kutipan derma. Permohonan kami diluluskan. Akhirnya, saya menjadi penyumbang tetap kepada Palestin melalui Burger Palestin ni. Saya yakin, suatu hari nanti, Palestin akan merdeka. Apa yang penting, kita mesti tolong Palestin secara berterusan. ”
“Subahanllah. Saudara berdua amat beruntung. Allah memilih saudara untuk berjihad dengan cara ini. Alhamdulillah.”
“Imam masjid ini cakap kat kami macam tu juga. Kami pun tak sangka abang. Dalam kami mencari rezeki, ada bahagian untuk Palestin.”
“Dah lama kita berbual, tapi apa nama saudara berdua ye?”
“Oh, nama saya Amir. Kawan saya ni Asad”
“Amir dengan Asad ni jual burger je ke?”
“Dulu begitu la. Sejak kami buat inovasi kat gerai ni, Alhamdulillah, kami berdua secara serentak dapat kerja tetap di sebuah syarikat di Alor Setar. Kami fikir, ini ganjaran Allah untuk kami bila kami bantu Palestin. Kalau dulu kami jual burger sekadar cari duit lepas tamat belajar, tapi untuk Palestin baik kami teruskan. Pak Imam masjid ni cakap, ini ujian Allah untuk kami, nak uji sejauh mana kami istiqamah dalam kerja amal ini. Cuma sekarang ni kami hadkan waktu berniaga sekadar sekitar jam 11 malam. Abang tengok ayat yang kami tampal ni. Ini ayat cinta Allah yang Pak Imam tu bagi pada kami. Penguat semangat kami.”
Ku lihat ayat itu jelas tertulis di satu sudut gerai tersebut. Ayat yang sama menjadi penguat semangat orang yang berjuang di jalan Allah. Ayat itu jugalah menjadi penguat semangat rakyat Palestin.
“Intansurullaha yansurkum wa yusabit aqda makum”
Maksudnya: Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu dan menguhkan kedudukanmu
“Ni oblong abang.” Tetiba lelaki yang bernama Asad tadi membuka bicara setelah sekian lama aku hanya berbual dengan Amir.
“Terima kasih. Berapa harganya?”
“RM 3.50”
Ku hulurkan wang RM 5 padanya. Bakinya aku masukkan ke dalam tabung aman Palestin. “Semoga usaha kalian diberkati.”
“Abang nama apa?” Amir bertanya padaku.
“Abdul Fatah.” Jawabku ringkas.
“Oh. Saya nampak ada sticker aman Palestin kat kereta abang.”
Aku tersenyum.“Itu pula usaha abang mengkhabarkan pada ramai tentang Palestin. Biar semua orang bicara pada jihad palestin. Biar semua orang lihat kesengsaraan bumi Palestin.”
“Benar abang. Kalau kita yang berada di negara aman ini tak menolong, siapa lagi. Usaha kita kecil pada mata manusia, tapi biar Allah yang menilainya.”
“Alhamdulillah. Masih ada insan yang sudi menghulurkan bantuan seperti Amir dan Asad. Abang pergi dulu ye.”
“Baik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Aku langkahkan kakiku memasuki kereta. Enjin terus dihidupkan. Baru beberapa meter dari gerai itu, aku berhentikan kereta. Aku pandang oblong yang yang belum disentuh. Tarian perutku, aku tolak ke tepi. Seleraku mati begitu sahaja. Ada perkara lain yang menghantui diriku. Aku pusing semula keretaku menuju ke gerai tadi. Alhamdulillah, gerai tadi masih belum dikunjungi orang. Masih berpeluang berbicara setelus tadi.
“Maaf, abang datang lagi. Abang nk tanya, biasanya barang-barang yang digunakan untuk membuat burger ini kan datangnya daripada barangan Yahudi. Macam mana dengan gerai ni?”
Asad dan Amir tersenyum. “Abang pusing kembali sebab nak tanyakan soalan ni?”
Aku hanya mengangguk. Tiada rasa malu yang terbit atas perbuatanku.
“Kami google bang. Risau juga barang-barang yang kami guna ada kaitan dengan Yahudi. Alhamdulillah, kami jaga sampai ke akar umbinya.”
“Syukur Alhamdulillah. Abang ucap tahniah pada kamu. Abang akan ke Palestin bulan depan, sebagai sukarelawan aman Palestin. Kamu ada pesanan untuk rakyat Palestin?”
“Masya Allah! Kami tak sangka Abang Fatah pun wakil aman Palestin. Sampaikan salam kami berdua pada rakyat Palestin ye. Beritahu mereka kami sedang berusaha tolong mereka.”
Aku senyum pada mereka. Tiba-tiba, badanku dirangkul hebat oleh dua pemuda ini. Aku dengar tangisan dari dua jejaka. “Kami doakan abang selamat pergi dan selamat pulang. Abang ada peluang berjihad untuk Islam. Doakan kami juga dapat menyusuli abang”
Allahuakbar!! Masih ada insan yang ingin gugur di medan jihad pada zaman ini. Alhamdulillah… Aku meneruskan perjalananku yang terhenti. Semoga Daurah Murabbi ini akan melahirkan ramai dai’e yang berusaha berjihad demi agama.

:~ cherita tentang blog:~

ini kesah tentang perjuangan. Perjuangan di bumi Palestin..sekadar berkongsi titisan air mata..walaupun x selaju mereka..namun sekurang-kurangnya merasai sedikit penderitaan mereka di sana...

kita satu agama..kanan sakit, kiri pun terasa..kanan melontar batu....biarlah kiri yang melontar bicara..biar perjuangan kita berbeza..tapi matlamat kita sama..selagi mana jasad masih bernyawa..selagi mana kita diilhamkan Allah..dan selagi mana kita dipilih Allah untuk satu perjuangan yang belum tiba ke penghujunganya..sama-samalah kita berusaha..

kalaupun ditakdirkan nikmat ini bukan kita yang rasai..biar generasi seterusnya yang menikmati...kalau bukan penghargaan yang dikaut..tapi syurga yang menanti...

jangan ditanya sudah apa yang dilakukan untuk syurga..tapi hitunglah berapa banyak lagi amal untuk ke sana...